Kamis, 26 Desember 2013

Browse Manual » Wiring » » » » » Robin Hood Tanjung Puteri

Robin Hood Tanjung Puteri

HUJAN baru sahaja reda. Hutan dan denai yang kami rentasi masih terasa basahnya. Tanah merah yang dipijak melekat pada kasut dan meninggalkan jejak. Sesekali bahu disapa nakal sisa titisan air hujan yang jatuh dari dedaunan.



Saat kaki berwaspada daripada tersadung akar pokok, mata terbeliak dikejutkan dengan dua ekor khinzir yang berlari meluru secara membabi buta. Memang kecut perut dibuatnya!
TANJUNG Puteri (Johor Bahru) sebelum merdeka.
Itulah sebahagian rintangan yang terpaksa krew Jurnal lalui dalam usaha mengenali seorang lelaki bernama Si Bongkok. Pusara individu misteri itu dikatakan terletak lebih satu kilometer ke dalam hutan di Tanjung Belungkur, Johor.
Nama Si Bongkok mungkin tidak asing bagi rakyat negeri Johor sementelah ia disebut dalam lagu malar segar Tanjung Puteri.
Lagu yang dinukilkan pada 1950-an itu boleh dikatakan begitu mesra di telinga dan terus bermain di bibir rakyat negeri itu. Cuma, siapakah Si Bongkok yang disebutkan dalam bait-bait lagu itu tidak ramai individu ingin membongkarnya.
LAGU TANJUNG PUTERI VERSI ROCK

LAGU TANJUNG PUTERI VERSI LAMA
Pastinya Si Bongkok seorang yang penting. Kalau tidak, masakan ia disebutkan dalam lagu patriotik dan dikatakan menjadi lagu jati diri negeri Johor itu.
Tidak mungkin ia sekadar menceritakan tentang Tanjung Puteri yang merupakan nama lama Johor Bahru selain retorik dan kisah dongeng semata-mata.
Nama Si Bongkok mula dipopularkan oleh budayawan, Allahyarham Shaharom Husain menerusi pementasan drama berjudul Si Bongkok Tanjung Puteri di Dewan Jubli Intan Johor Bahru seawal tahun 1961.
Si Bongkok disifatkan telah bersemadi bersama sejarahnya yang terkambus. Dia dikatakan seorang pahlawan yang namanya terpadam dalam lembaran sejarah malah tidak hairanlah jika ada yang menyifatkan dia tidak wujud.
“Ada orang Johor yang tahu cerita tentangnya dan ada yang tidak tahu. Bagi saya, dia bukan pengkhianat, sebaliknya dia ialah seorang yang membela bangsa dan tanah airnya.
“Walaupun saya hanya mendengar ceritanya secara lisan, saya tetap percaya apa yang diceritakan. Semangatnya memperjuangkan tanah air membuatkan saya menjadikannya sebagai idola,” kata anak jati Johor, Khairil Muadzam Syah Jalil, 30.
Lanun baik
Khairil yang kesal kerana kisah Si Bongkok tidak banyak dihebahkan memberitahu, beliau hanya mengetahui tentang tokoh itu menerusi cerita mulut datuknya dan buku sejarah lama.
“Kisahnya menarik. Orang kata, dia lanun tapi lanun yang baik. Dia menyerang kapal-kapal Barat demi menyekat kemaraan mereka di Johor. Dia amat benci penjajah.
“Dia melanun sebagai caranya menentang penjajah. Dia merompak kapal mereka untuk tujuan baik, macam Robin Hood,” kata Khairil yang merupakan seorang peniaga saat ditemui di Tanjung Puteri baru-baru ini.
Tambah kapsyen



TANJUNG Belungkur merupakan antara lokasi pusara Si Bongkok selain di Johor Bahru.



Tanjung Puteri yang terletak berdekatan Tambak Johor kini menjadi kawasan pelabuhan khas pihak kastam.
Khairil juga mempercayai mayat Si Bongkok bersemadi di Riau, Indonesia selepas jatuh ke dalam sebuah lubang gua akibat satu pertarungan.
Menyedari terdapat pelbagai versi cerita mengenai Si Bongkok, Jurnal mendapatkan penjelasan daripada Yayasan Warisan Johor.
Pegawai sejarah di yayasan berkenaan, Kamdi Kamil menerangkan kisah sebenar yang dipercayai ahli sejarah.
Menurut Kamdi, kisah Si Bongkok berlaku pada pertengahan abad ke-19 iaitu sekitar tahun 1855 hingga 1870.
Negeri Johor pada ketika itu diperintah oleh Temenggung Daeng Ibrahim. Pada tahun 1855 pusat pentadbiran Johor telah dipindahkan dari Teluk Belanga, Singapura ke Tanjung Puteri.
Ketika pemerintahan Temenggung Ibrahim di Tanjung Puteri, muncul seorang lelaki yang cacat fizikalnya tetapi mempunyai keberanian menentang campur tangan Inggeris dalam pentadbiran dan ekonomi Johor.
“Dia memang dilahirkan bongkok, badannya bengkok ke kanan dan mukanya herot ke kanan. Walaupun dia cacat tapi dia mempunyai fizikal yang kuat.
“Badannya besar dan gagah,” katanya sambil memberitahu Si Bongkok cekap bermain senjata seperti badik dan sangat mahir ilmu kelautan dan pelayaran.
“Ini mungkin kerana dia merupakan Orang Laut yang mahir dengan ilmu kelautan. Dia lahir dalam keluarga orang kebanyakan,” ujar Kamdi, anak kelahiran Batu Pahat.
Berebut Tanjung
Pada masa itu, Singapura telah dikuasai Inggeris dan Inggeris berniat untuk meluaskan jajahannya di Johor.
Mereka juga berusaha mengaut hasil-mahsul Johor seperti lada hitam, gambir, rotan dan damar serta dibawa ke Singapura selaku pusat pengumpulan hasil sebelum dibawa ke Eropah.
“Keadaan itu menimbulkan kemarahan Si Bongkok. Lalu, dia berjuang memusnahkan kapal-kapal dagang Inggeris. Dia melanun sekitar Selat Tebrau dari Pengerang hingga ke Kukup, perairan Kuala Sungai Johor dan perairan Singapura.
Hal itu telah membawa kesusahan kepada Inggeris. Gabenor Negeri-Negeri Selat, W.J Butterworth amat marah dan mahu kegiatan lanun dihapuskan. Pelbagai cara telah digunakan untuk menumpaskan Si Bongkok, ketua kumpulan lanun.



PERJALANAN ke pusara Si Bongkok mengambil masa sekitar 10 minit.



Namun, ia tidak berjaya kerana dia dikatakan pahlawan yang handal, kebal dan tidak lut senjata tajam.
“Si Bongkok juga dikatakan mencintai gadis yang sama dengan adiknya, Panglima Putih. Hayatnya dikatakan berakhir apabila dia tertikam dirinya ketika bertarung dengan adiknya di Tanjung Puteri,” katanya sambil memberitahu gadis itu merupakan Tanjung, anak kepada Datuk Penggawa Timur.
Beritahu Kamdi, Si Bongkok dilihat dari dua persepsi. Masyarakat setempat menganggapnya sebagai wira yang pantang melihat negeri Johor dikuasai bangsa asing.
Sementara, Inggeris dan pemerintah pada masa itu melihatnya sebagai penderhaka dan pengkhianat kerana melakukan pembunuhan dan perompakan sesuka hati sekali gus menjejaskan aktiviti perdagangan amnya di salah sebuah pusat perdagangan utama selepas kejatuhan Melaka.
“Antara sebab juga sejarahnya tidak banyak diperkatakan mungkin kerana perjuangannya agak berbeza daripada sebahagian tokoh pejuang Johor yang cenderung menggunakan kepintaran berbanding pertumpahan darah.
“Johor merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang tidak dikuasai Inggeris secara langsung. Datuk Abdul Rahman Andak misalnya amat menentang Inggeris tetapi dia memilih cara diplomasi dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Pusara
Mengenai pusara Si Bongkok kini, Kamdi berkata, terdapat beberapa pendapat iaitu di lereng bukit Tanjung Puteri seperti yang disebut pada bait lagu Tanjung Puteri, kawasan Mahmoodiah dan Tanjung Belungkur.
Kamdi meyakini Tanjung Belungkur ialah tempat yang tepat kerana Tanjung Belungkur dipercayai kampung halaman Si Bongkok.
“Ada juga kemungkinan, Panglima Putih mengarahkan agar pusara adiknya dipindahkan dari Tanjung Puteri ke Tanjung Belungkur,” ujarnya.
Penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri dan pengkaji sejarah, Abdul Latip Talib turut berpendapat pusara Si Bongkok yang sebenar ialah di Tanjung Belungkur.
“Berdasarkan kajian saya dan pandangan penduduk sekitar Johor, pusaranya di Tanjung Belungkur. Dulu, pusaranya agak terbiar dan hanya bernisankan kayu tapi saya ambil inisiatif letak nisan batu,” katanya.
Abdul Latip juga menyifatkan Si Bongkok merupakan seorang pahlawan yang patut dikenang dalam sejarah.
“Dia lanun, tapi dia juga pahlawan kerana menentang penjajah. Dia hanya memusnahkan dan menyerang kapal dagang Inggeris. Namanya terpadam dalam sejarah kerana kebanyakan kisah sejarah ditulis oleh Inggeris.



PUSARA Si Bongkok di Tanjung Belungkur, Kota Tinggi, Johor.



“Mengapa setelah lebih 50 tahun negara kita merdeka, kita masih mengikut telunjuk Inggeris menganggap dirinya sebagai penderhaka? Kenapa kita tidak boleh menganggap lanun yang menentang penjajah sebagai wira?
“Orang Inggeris sendiri menganggap lanun-lanun mereka sebagai pahlawan. Lanun Viking yang menguasai Ireland, Scotland, Perancis dan Rusia dianggap sebagai membantu memperkukuhkan kekuasaan Inggeris berbanding penjajah Barat yang lain,” katanya. Inggeris juga terkenal dengan lanun-lanun mereka seperti Edward Teach atau ‘Blackbeard’ dan Calico Jack Rackham.
Sementara itu, pegawai kastam di Pangkalan Marin Kastam di Tanjung Puteri, Syed Idid, 57 menceritakan, beliau telah mendengar bermacam-macam cerita pelik di kubur Si Bongkok di lereng bukit Tanjung Puteri, tidak jauh dari Kompleks Kastam.
“Orang cakap ada kawasan berhampiran pokok besar itu tidak boleh dibangunkan. Ramai juga pengamal seni bela diri yang pergi bertapa di situ,” ujarnya.
Ramdan Sayon, 40 individu yang memandu kami ke pusara di Tanjung Belungkur memberitahu, dia mengetahui selok-belok jalan hutan ke pusara ini melalui datuknya.
“Saya cari sendiri pun tidak jumpa, lepas ditunjukkan datuk baru jumpa. Sekarang sayalah orang yang dicari kalau sesiapa nak ke pusara itu.
“Ramai yang pergi sendiri tidak menjumpainya dan ada juga yang dilaporkan sesat,” ujarnya.

SUMBER

Tidak ada komentar:

Posting Komentar